Jodoh dalam Talian

18 Ogos 2009 at 15:49 1 komen

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL (Utusan Malaysia)

ADA rupa, ada gaya, berkerjaya dan berharta tetapi kenapa masih bersendiri? Itu antara soalan klise kerap menghujani lelaki mahu pun wanita yang pada pandangan kasar sudah memiliki hampir segalanya – kerjaya, wang ringgit, kediaman sendiri, kenderaan yang selesa, penampilan bergaya dan sebagainya – namun memilih untuk mengekalkan gelaran bujang atau solo.

Status solo memang menjadikan seseorang bebas tanpa sebarang ikatan untuk melakukan apa saja tanpa perlu meminta izin daripada suami atau isteri.

Tetapi benarkah ‘kebebasan’ alasan mutlak untuk memilih gaya hidup sebegitu ataupun mereka sebenarnya memang cerewet dalam memilih teman atau mungkin juga mereka hidup bujang kerana tiada pilihan.

Bagi golongan ini insiden ahli keluarga menjodohkan atau mengatur janji temu dengan seseorang yang mereka rasakan layak sudah menjadi perkara biasa.

Namun disebabkan berasa ego tercabar kerana dianggap tidak berupaya mencari pasangan sendiri ‘niat murni’ ahli keluarga akhirnya putus di tengah jalan.

Ramai juga di kalangan mereka ini percaya pada ‘pertemuan yang tidak dirancang’ dengan pasangan dan yakin itulah jodoh terbaik buat mereka. Dek kerana terlalu berpegang kepada prinsip itu juga mereka sanggup menunggu dan terus menunggu biarpun semakin dipanjat usia.

Pengurus Smart Builder Consultant Sdn. Bhd., Azhar Awang berkata, selain menunggu sebenarnya ada alternatif lain yang boleh dilakukan contohnya dengan bantuan agensi mencari jodoh.

Begitupun untuk berbuat demikian terlebih dahulu stigma masyarakat Malaysia tentang apa yang dikatakan dengan mencari jodoh perlu diubah.

“Ini kerana apabila bercakap tentang perkara cari jodoh, ramai menganggap bahawa mereka yang terlibat adalah golongan yang terdesak, sedangkan hakikatnya bukan begitu.

“Sejak portal mencari jodoh secara Islam ini dilancarkan saya mendapat banyak maklum balas positif daripada wanita golongan berkerjaya dan profesional.

“Rata-ratanya mengatakan sebab untuk kekal solo kerana masih belum berjumpa pasangan yang sesuai,” ujarnya yang ditemui ketika hadir ke pejabat Utusan Malaysia, baru-baru ini.

MENCARI jodoh di Internet telah menjadi lumrah masa kini sama ada dari pihak perempuan atau lelaki. - Gambar hiasan

MENCARI jodoh di Internet telah menjadi lumrah masa kini sama ada dari pihak perempuan atau lelaki. - Gambar hiasan

Katanya, pencarian jodoh bukanlah satu perkara baru atau asing di negara luar.

Azhar yang pernah menuntut di Universiti Purdue, Indiana, Amerika Syarikat berkata, idea untuk mewujudkan program cari jodoh di Malaysia diambil ketika berada dalam satu majlis perjumpaan pelajar-pelajar Islam di sana.

“Dalam Islam ‘takruf’ bermakna perjumpaan antara calon yang bertujuan mengenali rupa, personaliti dan perbincangan yang makruf, dengan niat untuk berkahwin, calon wanita mesti ditemani oleh wali atau muhrim, di tempat awam yang sesuai.

“Kami tidak menggalakkan dating. Sebaiknya calon wanita hadir ditemani muhrim atau kawan baik yang sama jantina. Tempat perjumpaan pula mereka boleh tentukan sendiri tetapi mestilah di tempat terbuka seperti di restoran atau masjid.

“Kami juga menggalakkan calon wanita agar menutup aurat. Apabila peraturan asas telah diberi, cara perkenalan dan perjumpaan antara ahli portal adalah tanggungjawab mereka sendiri,” jelasnya.

Beliau yang juga pengurus portal program cari jodoh Islam Almuslimin berkata, mencari jodoh atau jodoh yang diaturkan adalah sebagai satu usaha yang digalakkan dalam Islam untuk mencari pasangan.

“Sudah tentulah sebagai orang Islam kita perlu sentiasa berdoa, melakukan solat hajat dan istikharah dan yang berusaha untuk mendapatkan jodoh yang baik.

Dalam program cari jodoh Islam yang beliau jalankan, Azhar berkata, pihaknya sekadar menjadi pemegang amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh calon yang hendak mencari pasangan.

Proses pencarian dilaksanakan dengan bijaksana dan mengikut kehendak syariat Islam dengan syarat calon-calon memberikan butir peribadi yang sebenarnya agar tidak timbul masalah kelak.

“Calon terdiri daripada gadis iaitu wanita belum pernah berkahwin, teruna atau lelaki belum pernah berkahwin, duda, balu, janda, ibu tunggal, dan juga lelaki yang berhasrat berpoligami.

“Kebanyakan calon yang mendaftar terdiri daripada mereka yang berpendidikan tinggi, profesional, guru dan pendidik, usahawan, kakitangan kerajaan, tentera, polis dan ahli akademik. Ada juga ahli yang terdiri daripada ahli portal kami iaitu http://almuslimin.net/JODOH,” ujarnya.

Tidak sesuai

Dalam pada itu melalui kajian yang dijalankan oleh sebuah agensi pencari jodoh berpusat di Singapura, Lunch Actually, mendapati jawapan paling popular yang menjadi sebab utama golongan profesional di Malaysia memilih untuk kekal bujang ialah kerana tidak bertemu dengan orang yang sesuai.

Ini bermakna mereka tidak bertemu dengan pasangan yang boleh berkongsi pendapat dan minat yang sama dengan mereka. Alasan kedua yang diberikan ialah orang yang mereka minat kebanyakannya sudah berkahwin atau tidak berminat terhadap mereka.

Menurut pengasas Lunch Actually, Violet Lim, dalam kajian yang diberi nama Regional Dating Survey 2009, menariknya, penemuan yang dibuat pada tahun ini adalah sama dengan yang pernah dibuat pada tahun 2005.

“Ini bermakna, walaupun tempoh empat tahun berlalu sebab musabab untuk individu kekal solo masih sama walaupun kini terdapat begitu banyak saluran untuk bersosial secara online mahupun perjumpaan terus,” jelasnya ketika ditemui pada sesi pembentangan penemuan kaji selidik tersebut di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kaji selidik ini membabitkan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Hong Kong untuk mendapat jawapan lebih tepat tentang persepsi mereka yang solo terhadap temu janji dan perhubungan secara amnya.

Kajian ini juga telah berlangsung selama sebulan dan responden yang dipilih bukanlah klien atau pelanggan yang pernah berhubung dengan agensi pencari jodoh.

Trend temu janji

“Responden sasaran dipilih kerana kami mahu mendapatkan jawapan yang tulen dan realistik tentang mengapa mereka kekal solo dan juga trend temu janji di tiga negara yang dipilih,” kata Violet.

Lebih menarik, dengan penemuan berharga menerusi kaji selidik ini, Lunch Actually akan lebih mudah mencari pasangan yang sepadan dengan apa yang diingini pelanggan mengikut trend di negara masing-masing.

“Kami mencari penyelesaian terbaik untuk klien bertemu pasangan mereka, demi memenuhi matlamat tersebut kami bukan saja perlu memahami diri mereka tetapi juga keadaan sekeliling yang mereka hadapi setiap hari. Kami begitu prihatin dan memberikan kualiti dan menepati keperluan klien kami,” tambah Violet.

Justeru, tidak perlu bersikap tabu dengan perkhidmatan mencari teman kerana siapa tahu cara aturan janji temu yang mereka buat untuk anda adalah penyelesaian untuk apa yang anda cari.

Kata Violet, tempat makan lazimnya menjadi medan pertemuan paling ideal kerana sambil menikmati juadah mereka boleh berbual tentang apa saja dalam suasana yang amat tenang dan santai.

“Kebanyakan klien menyatakan mereka terlalu sibuk untuk bertemu calon pasangan, tapi tidak akan menolak jika pelawaan makan tengah hari.

“Apa pun kami akan menapis, merancang koordinasi dan temu janji, apa yang klien perlu lakukan ialah hanya menghadiri temu janji tersebut.

“Klien akan dipadankan dengan pasangan mengikut kriteria pilihan dan mereka boleh menandatangani pakej enam kali perjumpaan selepas bersetuju dengan pilihan dan syarat yang telah dibuat,” ujarnya.

Entry filed under: Perhubungan. Tags: , , , , , , , , .

Rear Panel Connector Fakta Ringkas: Perhubungan Lelaki dan Wanita

1 Komen Add your own

  • 1. Mohd Farid Akmal Bin Abdul Kadir  |  26 Ogos 2010 at 17:21

    sye rase bgitu sronok,dan dipoket saye sentiase ade wang dan tidak kring slalu.memang hebat skali..

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


Satu Sekolah Untuk Semua

Arkib

RSS Anak Askar Pencen

  • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.

Kemaskini Twitter


%d bloggers like this: